Kisah Banjir Menakutkan Dari SMK Manek Urai | “Situasi ketika itu sangat menakutkan apabila air naik mendadak. Saya yang tidak pernah berdepan dengan pengalaman seumpama itu terdesak dan tiba-tiba terfikir untuk menghantar mesej WhatsApp di dalam grup WhatsApp sekolah. Tak sangka pula ia jadi viral hingga ke seluruh negara,” kata seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, Roslinawati Mohd Nawi.
Dia merupakan individu pertama yang menceritakan pengalamannya sepanjang berada di Pusat Pemindahan Banjir di sekolah itu menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dikongsi di Facebook sehingga viral.
Menurut guru tersebut, ketika kejadian itu arus air banjir sangat kuat sehingga membuatkan kawasan bangunan itu bergegar dihempas arus deras sehingga ada keluarga nekad untuk mengikat tangan bersama keluarga masing-masing untuk mati bersama-sama.
“Ketika itu keadaan gelap dan kami hanya tawakal sekiranya pada hari itu kami ditakdirkan mati kami sudah reda. Namun dalam hati kami tetap berdoa supaya keajaiban akan berlaku,” tambahnya lagi.
Menceritakan detik cemas itu, Roslinawati menyatakan segala-galanya bermula pada Selasa 23 Disember apabila dia bersama suami Shuhairi Alang Mahat dan anaknya berusia dua tahun yang tinggal di asrama sekolah itu berpindah ke bangunan tiga tingkat bersebelahan berikutan hujan sangat lebat dan air mulai naik di kawasan berhampiran.
“Pada mulanya saya dimaklumkan penduduk banjir masih terkawal, jadi saya hanya tinggal di tingkat dua asrama itu. Namun, pada malam itu seorang pengawal keselamatan datang dan memaklumkan kami perlu berpindah kerana air naik dengan cepat.
“Tanpa berfikir panjang saya suami dan seorang anak meredah air sedalam 0.3 meter ke bangunan sekolah untuk menyelamatkan diri,” ujarnya.
Dia yang juga warden asrama itu menyatakan ketika itu perasaan takut dalam dirinya masih belum timbul kerana menyangka air tidak akan naik tinggi
“Rupa-rupanya sangkaan saya itu jauh meleset apabila melihat bumbung asrama setinggi dua tingkat itu ditenggelami air.
“Pada malam itu saya tidak boleh tidur kerana dentuman kuat arus menghentam bangunan sekolah selain mencecah tingkat dua.
“Ketika itu seolah-olah sudah pasrah dan sekiranya air naik lagi kami sudah merancang langkah yang perlu diambil seperti naik atas meja dan berpaut pada kipas sebelum dihanyutkan arus.
“Saya ingatkan saya saja berfikir perkara itu, apabila kami berbual sesama sendiri ramai turut berfikir perkara sama. Hampir dua hari keadaan itu kami hadapi sebelum paras air turun dengan cepat.
“Kami hampir terputus bekalan makanan sehingga ada ibu bapa yang sanggup berenang mendapatkan makanan yang hanyut. Alhamdulillah, selepas itu bantuan tiba tiga hari kemudian yang dihantar melalui udara dan kami diberi lapan tin biskut dan selepas itu bantuan tiba hampir setiap hari,” katanya.
Menjelang hari kelima, air mulai surut dan mereka sudah boleh keluar walaupun air pada paras betis dan berharap ini yang pertama dan terakhir dalam hidupnya.
0 comments:
Post a Comment