Propellerads

Muhammad: Nama ‘Insan’ Yang Kian Dilupai?


Muhammad: Nama ‘Insan’ Yang Kian Dilupai? | Siapakah Muhammad? Itu adalah persoalan pertama. Kenapa persoalan ini diutarakan? Kerana nama ini sedang dilupai oleh umatnya.

Insan yang bernama Muhammad inilah yang mula-mula memperkenalkan Islam. Dan insan inilah yang berusaha mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya kehidupan yang sebenar.

Dalam kita meniti nama insan ini, persoalannya, sejauh manakah kita benar-benar kenal dengan nama insan yang bernama Muhammad ini?

Hadirnya insan ini jelas memaklumkan pada dunia bahawa kedatangannya adalah untuk rahmat seluruh alam.

Apakah pengajaran yang dapat kita ambil dari insan bernama Muhammad ini? Sebagai individu muslim yang sedang memakmurkan bumi Allah, apakah pedoman yang boleh kita terapkan dalam kehidupan dan kerjaya kita melalui tauladan Nabi Muhammad ini?

Sudah tentu kita sebagai individu muslim perlu mencontohi baginda Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan.

Realiti apa yang berlaku sekarang, baik dalam kehidupan bermasyarakat, kehidupan kerjaya, dan kehidupan berkeluarga, nilai-nilai akhlak yang pernah diajar oleh baginda Muhammad s.a.w tidak lagi dipraktikkan. Kenapa?

Pelbagai punca yang boleh kita senaraikan, dan ini adalah perkara yang sangat menyedihkan bagi kita khususnya kita sebagai orang Islam yang selalu mendakwa bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Muhammad Di Lupai Kerana Prinsip?

Realiti apa yang kita dapat lihat dalam masyarakat kita sekarang ini ialah, mereka lupa akan insan bernama Muhammad ini kerana mereka cenderung dengan prinsip-prinsip mereka tersendiri yang secara jelas terkeluar dari syariat Islam.

Mereka gemar memilih prinsip tokoh-tokoh barat sedangkan Islam itu kaya dengan nilai-nilai prinsipnya tersendiri.

Baik prinsip dalam sesebuah organisasi, atau keluarga atau sebagainya, prinsip yang diterapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w ditolak secara bulat-bulat.

Ada golongan yang tidak suka dengan prinsip yang diterapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Contoh prinsip yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah seperti setiap keputusan perlu berlandaskan syariat Islam.

Atau setiap permasalahan perlu diselesaikan melalui syura atau bermesyuarat di mana mesyuarat itu perlulah didasari dengan akhlak dan perbincangan yang sihat.

Tetapi malangnya, prinsip ini tidak lagi dipraktikkan oleh masayarakat kita hanyasanya masing-masing ego dalam mempertahankan pandangan masing-masing.

Justeru itu tidak hairanlah jika kita dapat lihat banyak berlaku pertelingkahan di mana-mana, dan tiada toleransi di antara umat Islam zaman sekarang.

Muhammad Di Lupai Kerana Tidak Di Praktik Akhlak?

Jelas apa yang boleh dikongsikan di sini ialah bahawa umat Islam kita sekarang adalah umat yang tidak lagi berakhlak.

Amat menyedihkan kerana nama kita Islam tetapi kita gagal untuk mempraktikkan akhlak Islam yang sebenar.

Dimanakah silapnya? Apakah tidak cukup lagi penerangan dari al-quran dan hadis?

Cuba perhatikan disekeliling kita berapa ramai manusia yang menjadi umat Muhammad, gagal dalam menonjolkan akhlak yang baik?

Oleh itu, sebagai umat Islam yang benar-benar patuh dan taat pada suruhan Allah dan RasulNya, maka wajib atas kita untuk mempraktikkan akhlak-akhlak yang telah diajarkan kepada kita melalui Nabi Muhamamd s.a.w.

Sukakah kita apabila kita dilabelkan sebagai umat Islam yang tidak berakhlak? Maka bermuhasabahlah kita.

Muhammad Di Lupai Kerana Tidak Di Praktik Sunnah?

Nama Nabi Muhammad s.a.w ini juga dilupai kerana kegagalan kita dalam mempraktikkan sunnah-sunnah Baginda.

Apakah sunnah-sunnah baginda? Apakah sunnah baginda dalam keluarga, masyarakat dan kepimpinan?

Apakah sunnah baginda dalam bab makanan? Apakah sunnah baginda dalam bab ibadah?

Jelas kadang-kadang kita suka membuat sesuatu secara semborono tanpa berlandaskan sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh itu, jika kita ingin menjadikan nama Muhammd ini selalu diingati, maka atas kita untuk sentiasa mempraktikkan sunnah baginda Muhammad s.a.w secara keseluruhan.

Muhammad Di Lupai Kerana Jarang Berselawat?

Ini adalah perkara utama. Berapa kali kita berselawat pada Nabi Muhammd s.a.w dalam sehari? Cukupkah sekadar bacaan selawat di dalam solat? Itu belum dinilai samada ada kita baca dalam keadaan sedar atau tidak?

Atau kita baca dalam keadaan laju atau tidak dengar? Ini semua jika kita tidak jaga dengan baik, maka kita akan cepat melupai insan bernama Muhammad ini.

Maka perbanyakkan selawat ke atas baginda agar kita sentiasa beroleh rahmat. Dan dengan cara mengingati Allah dan RsulNya, kehidupan kita akan lebih terjaga apabila kita sentiasa mematuhi syariat Islam itu sendiri.

Dalam kepimpinan organisasi, cubalah kita mencontohi Nabi Muhammd s.a.w. Banyak perkara yang belum kita praktikkan dalam kepimpinan kita. Apakah contoh yang lebih baik dari contoh Nabi Muhammad s.a.w?

Maka bermuhasabahlah kita dalam menilai kembali kedudukan kita dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Pengajaran yang boleh diambil:

1.       Sentiasalah ingat akan nama Nabi Muhammad s.a.w ini.

2.       Praktikkanlah akhlak baginda ini dalam setiap perkara.

3.       Muslim yang baik adalah muslim yang dapat meneladani sifat Nabi Muhammad s.a.w

4.      Praktiklah sunnah baginda agar namanya sentiasa diingati dalam hati kita.

5.      Perbanyakkan selawat dan jangalah kedekut dengannya kerana insan bernama Muhammad inilah yang kita akan harapkan syafaat darinya kelak.

6.      Bermuhasabahlah “Adakah aku telah lupa akan nama insan bernama Muhammad ini? “

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


Share on Google Plus

About bradokapak

Sentiasa komited menghapdate informasi dan berita terkini untuk korang semua.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment