Kerajaan Negeri Tidak Benarkan KAFA Menggunakan Stadium Sepanjang Ramadhan
Datuk Abdul Fattah Mahmood yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, berkata, ia berikutan pekarangan stadium utama itu akan digunakan sepenuhnya untuk program Madinah Ramadan tahun ini.
“Memang betul, Kafa perlu cari lokasi lain sebab memang setiap tahun program Madinah Ramadan akan dibuat di lokasi tersebut, berdepan dengan pintu masuk utama stadium.
“Kalau boleh kita tidak mahu program Madinah Ramadan ini terganggu dengan bunyi bising dalam stadium. Maka, untuk mengelak benda seperti itu berlaku, lebih baik perlawanan tersebut berlangsung di lokasi lain,” katanya kepada Sinar Harian, di Kota Bharu, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa di laman sosial Facebook berhubung kebenaran untuk menggunakan stadium berkenaan sebagai lokasi perlawanan pada bulan puasa ini.
Menurutnya, program Madinah Ramadan kebiasaannya melibatkan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, diikuti dengan solat terawih yang disertai lebih 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Abdul Fattah berharap Kafa dapat menyelesaikannya masalah itu secepat mungkin bagi memastikan jadual asal perlawanan tidak berubah walaupun terpaksa menukar lokasi perlawanan kali ini.
“Kita berharap ia akan diselesaikan nanti. Sebagaimana maklum, kebanyakan aktiviti lain yang perlu diadakan di stadium juga terpaksa dibatalkan demi menghormati program Madinah Ramadan,” katanya.
Kelantan akan menentang Sime Darby dan ATM pada 20 dan 27 Jun, manakala perlawanan timbal balik menentang Sime Darby di gelanggang lawan akan berlangsung pada 23 Jun. Perlawanan menentang Lions XII dan PDRM, masing-masing dijadualkan pada 4 dan 8 Julai di gelanggang lawan.
Mengikut jadual yang dikeluarkan, daripada lima perlawanan sepanjang Ramadan, Kelantan akan menjadi tuan rumah untuk dua perlawanan, manakala tiga lagi di gelanggang lawan. Tan Sri Annuar Musa juga turut memuat turun status di facebook nya berkenaan perkara ini.
0 comments:
Post a Comment