Kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim Kini Semakin Teruk Dan Amat Membimbangkan
Baca juga : Anwar ada ketumbuhan 4cm di buah pinggangTahap kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin teruk dan amat membimbangkan, menurut pasukan peguam antarabangsa yang mendakwa bekas ketua pembangkang itu dinafikan akses kepada rawatan yang amat diperlukan beliau.
Mereka menyarankan Anwar segera dipindahkan segera ke tahanan kediaman supaya beliau boleh dibenarkan menemui doktornya sendiri bagi mendapatkan rawatan perubatan, kata peguamnya Sivarasa Rasiah dalam satu kenyataan hari ini.
"Kezaliman yang dikenakan terhadap Anwar berterusan.
"Masyarakat antarabangsa patut risau dengan tahap kesihatan Anwar yang semakin teruk, yang diburukkan lagi dengan penafian akses kepada rawatan dan kemudahan pada kala beliau ditahan dengan salah," katanya.
Kenyataan itu turut ditandatangani Jared Genser, peguam dan pengasas Freedom Now, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan pembebasan tahanan politik seluruh dunia.
Anwar ketika ini menjalani hukuman 5 tahun penjara susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari yang mensabitkan beliau bersalah atas dakwaan liwat terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sivarasa berkata, pada 2 Jun, selepas kelewatan lebih 4 minggu dari waktu penjara meminta Anwar dipindahkan ke hospital, tahap kesihatan beliau akhirnya dinilai Hospital Kuala Lumpur dalam masa 2 hari.
"Para doktor melaporkan secara lisan beliau memerlukan penilaian dan rawatan lebih lanjut berkaitan beberapa isu kesihatan termasuk tekanan darah yang tidak menentu, ketumbuhan 4cm di buah pinggang yang memerlukan CT scan, gastritis yang memerlukan diet tanpa gluten dan otot bahu yang koyak serta artritis kronik yang memerlukan fisioterapi intensif.
"Anwar juga kehilangan 6kg sejak beliau dipenjarakan," katanya yang juga naib presiden PKR.
Beliau berkata, pihak penjara memaklumkan masih belum menerima sebarang laporan kesihatan dari pihak hospital yang meminta ujian lanjut dijalankan atas Anwar.
Sementara itu, katanya, pihak penjara tiada kemudahan untuk ujian atau rawatan bagi keadaan kesihatan ketua umum PKR itu sekarang.
Menceritakan keadaan Anwar di penjara, Sivarasa berkata, beliau berada dalam keadaan teruk di selnya, menyebabkan kesihatannya makin merosot, dan dinafikan hak bertemu keluarga dan peguam seperti sepatutnya.
"Beliau ditempatkan dalam kurungan bersendirian dalam satu sel kosong, dengan baldi untuk mandi, tandas cangkung, dan dalam keadaan panas dan lembap dengan pengudaraan minimum yang memburukkan lagi masalah-masalah kesihatan beliau.
"Tambahan pula, beliau jarang dibenarkan bertemu keluarga di penjara, walaupun doktor mengesyorkan beliau dibenarkan bertemu keluarga setiap minggu. Pertemuan dengan para peguam juga sering kali dinafikan," katanya.
Sivarasa mendakwa, Anwar sebenarnya dipenjarakan kerana beliau merupakan ancaman demokratik dan ancaman tanpa kekerasan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, Amnesty International pada 17 Februari menetapkan Anwar sebagai seorang tahanan politik dan berkata, keputusan mahkamah tersebut satu "penghakiman yang amat buruk, dan hanya merupakan lembaran terbaru dalam usaha pihak kerajaan Malaysia untuk mendiamkan pengkritik kerajaan."
Baca juga : Anwar ada ketumbuhan 4cm di buah pinggang
0 comments:
Post a Comment